
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Mangsa kejadian bot karam yang dilaporkan hilang di perairan Selat Tebrau berhampiran Kampung Tebing Runtuh semalam, ditemukan lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua, tengah hari tadi.

Operasi SAR tersebut disertai seramai 42 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang hari ini – M. Kumarasan
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan, berkata mayat mangsa, Alpaizar Abd Mois, 43, ditemui oleh sekumpulan nelayan pada jam 12.55 tengah hari sebelum dibawa ke darat menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 1.20 tengah hari.
“Pengecaman dilakukan oleh ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian dan disahkan mangsa merupakan individu yang dilaporkan hilang sejak semalam.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut siasatan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.
Menurut beliau, dengan penemuan itu, operasi SAR yang dijalankan di lokasi kejadian telah ditamatkan sepenuhnya pada 2 petang.

Mayat mangsa, Alpaizar Abd Mois, 43, ditemui oleh sebuah bot nelayan pada 12.55 tengah hari.
Operasi SAR tersebut disertai seramai 42 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat dengan bantuan 22 penduduk kampung yang turut menyertai usaha mencari mangsa menggunakan pelbagai aset darat dan laut.
Dalam kejadian semalam, JBPM menerima panggilan kecemasan pada 8.50 pagi berhubung sebuah bot yang karam ketika mangsa bersama rakannya sedang memancing.
Rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung berhampiran selepas berenang ke tebing dari lokasi kejadian.
-AA-





