Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program ‘Malaysiaku Berdaulat’ Semai Semangat Patriotik Pelajar SMK Banggi

By 7 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)

KUDAT, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Program ‘Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpah Darahku’ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, kelmarin berjaya menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.

Melibatkan lebih 520 pelajar dan guru, program tersebut memberi pendedahan kepada warga sekolah untuk mengenali dengan lebih dekat peranan agensi keselamatan melalui pameran interaktif serta demonstrasi lapangan.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan demonstrasi penggunaan alat pemadam api, menarik perhatian ramai pelajar yang teruja menyaksikan demonstrasi keselamatan secara langsung.

Program berkenaan bukan sahaja memperkukuh kefahaman pelajar terhadap fungsi agensi keselamatan, malah turut memupuk semangat patriotisme serta rasa cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda.

Bagi pelajar Tingkatan Satu, Irwan Abdullah, 13, pengalaman itu amat bermakna kerana merupakan kali pertama beliau berpeluang mengikuti pameran seumpamanya di sekolah.

“Saya sangat teruja kerana ini kali pertama pameran seperti ini diadakan di sekolah kami. Saya paling tertarik dengan demonstrasi memadam kebakaran yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Irwan (depan) teruja apabila berpeluang menyertai pameran keselamatan buat pertama kali di sekolahnya.

“Apabila melihat sendiri cara mereka bertugas, saya lebih memahami betapa pentingnya peranan pasukan keselamatan dalam melindungi masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Tingkatan Satu, Siti Sarah Warnie, 13, turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menyertai program yang banyak memberi ilmu baharu.

“Saya gembira dapat hadir dan belajar pelbagai perkara daripada setiap pameran yang diadakan. Diharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Siti Sarah (kanan) gembira dapat mendengar ceramah daripada pegawai Maritim Malaysia yang memberi pendedahan tentang keselamatan di laut.

“Program ini membuatkan saya sedar tentang kepentingan semangat disiplin dan kerjasama seperti yang ditunjukkan oleh agensi keselamatan negara,” ujarnya.

Antara agensi keselamatan yang terlibat ialah JBPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

-RJ-

Tinggalkan komen anda