
Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Inisiatif memperkukuh gaya hidup sihat dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terus diperkasa menerusi penganjuran Majlis Pra Peluncuran Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Daerah Timur Laut 2025, di The Top, KOMTAR, hari ini.

Isma Suhaimi Sharif (dua dari kiri) hadir merasmikan majlis
Program yang menghimpunkan hampir 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan itu menjadi landasan penting dalam menyemarakkan budaya sukan dan gaya hidup aktif di tempat kerja, selain memperkukuh hubungan antara agensi serta masyarakat setempat.
Pegawai Daerah Timur Laut, Isma Suhaimi Shariff berkata sambutan menggalakkan daripada pelbagai jabatan dan agensi mencerminkan komitmen bersama untuk mengamalkan kehidupan sihat dan memupuk semangat kerjasama berpasukan.
“Sukan bukan sahaja dapat menjalinkan kerjasama antara jabatan, malah turut memperkukuh silaturahim di samping menggalakkan gaya hidup yang proaktif dan sihat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Acara dimulakan dengan sesi senamrobik
Tambahnya lagi, penganjuran HSN setiap tahun merupakan antara platform untuk menyokong pembangunan industri sukan negara.
HSN yang mula diperkenalkan tujuh tahun lepas dan diraikan pada minggu kedua bulan Oktober setiap tahun bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti fizikal serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan.
Bagi edisi tahun ini, HSN 2025 Peringkat Daerah Timur Laut dijadual berlangsung pada 11 Oktober ini, dengan pelbagai acara sukan terbuka yang menjanjikan penyertaan meriah daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis pra peluncuran turut diserikan dengan aktiviti senamrobik beramai-ramai dan cabutan bertuah, menjadikan suasana lebih interaktif dan penuh semangat kesukanan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar.
-AA-





