Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Agih Lebih 22,000 Baucar Jom Shooping Sempena Deepavali

By 8 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak

SHAH ALAM, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor terus mendapat sambutan apabila lebih 22,000 keping telah diagihkan kepada penerima di seluruh negeri menjelang sambutan Deepavali.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata peningkatan nilai baucar daripada RM100 kepada RM200 tahun ini menjadikan program itu antara inisiatif paling ditunggu rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Papparaidu (tengah) bersama tetamu jemputan yang hadir ke Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di Bangunan SUK

Menurut beliau pihaknya menerima permintaan tinggi daripada pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DUN Sentosa mencatatkan jumlah agihan tertinggi iaitu lebih 700 baucar.

“Memang ramai wakil rakyat hubungi saya untuk memohon tambahan baucar kerana sambutan sangat menggalakkan.

“Rakyat amat menghargai bantuan ini, terutama dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di Bangunan SUK, di sini semalam.

Papparaidu berkata beliau tidak menafikan bahawa program Jom Shopping kini menjadi antara inisiatif paling dinanti oleh rakyat setiap kali musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina mahupun Krismas.

“Kalau baucar tidak mencukupi, saya minta wakil rakyat pertimbangkan untuk guna peruntukan pembangunan kawasan masing-masing bagi bantu rakyat, apa yang penting mereka dapat nikmati suasana perayaan dengan lebih bermakna,” ujarnya.

Program Jom Shopping Perayaan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan bantuan berbentuk baucar membeli-belah barangan keperluan asas menjelang musim perayaan.

Papparaidu turut menjemput orang ramai memeriahkan Sambutan Hari Deepavali peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan pada 17 Oktober ini di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang.

-AA-

Tinggalkan komen anda