
Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN
KUALA LUMPUR, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan badan bukan kerajaan (NGO) Sumud Nusantara dan Cinta Gaza Malaysia bagi memperhalusi cadangan misi kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.
Anwar berkata selepas perbincangan itu, beliau akan turut menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi minggu hadapan bagi menyampaikan hasrat murni berkenaan.
“Saya nak jamin, sokongan kepada Palestin itu tetap ada. Mudah-mudahan laluan itu lebih mudah.
“(Ia) untuk beri mesej bahawa kita menyokong perjuangan rakyat Gaza dan Palestin. Mesej apa lagi? Dunia tidak membisu. Dunia bukan dalam zaman barbaric, ini zaman tamadun. Beri mereka (rakyat Palestin) hak sewajarnya, sama macam rakyat-rakyat lain di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan pidatonya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dalam ucapannya membuat permohonan terbuka kepada Anwar untuk mengaturgerakkan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui Mesir.
Sani Araby berkata beliau percaya hubungan baik Anwar dengan Abdel Fattah dan keupayaan Perdana Menteri memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa mampu merealisasikan hasrat tersebut.
Dalam pada itu, Anwar membidas segelintir pihak yang mempersoalkan peruntukan dana bantuan berjumlah RM100 juta untuk rakyat Gaza yang diumumkannya Ogos lepas, yang mendakwa seolah-olah Malaysia tiada golongan miskin dan kerajaan terlalu sibuk ingin membantu negara lain.
“Saya nak bagitahu, pergi belajar balik pengisytiharan kemerdekaan Malaysia. Malaysia ini merdeka sebagai negara bebas dan berdaulat. Bebas maknanya bebas menyuarakan. Mengapa kita merdeka? Kerana kita tolak penjajah Inggeris.
“Jadi, kenapa kita mahu biarkan Gaza dijajah oleh Israel?” soal penaung Sumud Nusantara itu sebelum mengakhiri pidatonya di hadapan kira-kira 16,000 pengunjung pada perhimpunan yang diadakan untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin itu.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata penganjuran himpunan itu juga bagi meraikan kepulangan 23 wira kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis sebelum dibebaskan dan selamat pulang ke tanah air malam kelmarin.
-FN





