Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Jangan Kecilkan Usaha Sukarelawan Malaysia Ke Gaza – Anwar

By 9 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

KUALA LUMPUR, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak memperkecilkan usaha sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza menerusi Global Sumud Flotila (GSF), Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza (FFC x TMTG).

Beliau berkata adalah lebih baik untuk masyarakat menzahirkan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam misi penuh berisiko dalam usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

“Ini 23 orang (peserta GSF) saya salute. Orang yang sanggup berjuang, kita doakan.

“Kamu tak berani pergi, orang pergi, kamu doakan. Ini tak, kamu hamun dia…’Oh, niat dia mungkin tak baik, dia nak popular, dia nak famous kan pondok dia lah’,” bidas Anwar ketika menyampaikan pidatonya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Anwar yang juga penaung Sumud Nusantara mengakui betapa sukarnya perjuangan pembebasan Palestin apabila berkongsi kisahnya menghadiri mesyuarat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Algiers, Algeria diketuai bekas Presiden Palestin Yasser Arafat.

“Yasser Arafat angkat saya sebagai anaknya. Tapi saya tahu betapa sukarnya. Jadi soal komitmen, kita harus ada.

“Jadi, bila anak-anak ini sampai ke situ, sanggup keluar ke lautan, tinggal keluarga. Ini bukan melawat Paris. Ini nak pergi ke Gaza yang dikuasai Israel,” katanya.

Anwar berkata, beliau pada awalnya berasa bimbang apabila dimaklumkan mengenai penyertaan anak muda dalam misi berkenaan kerana menyedari risiko yang bakal dihadapi mereka.

Bagaimanapun, beliau tetap menghormati keberanian mereka dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang membanggakan kerana sanggup berjuang serta mencipta sejarah tersendiri, berbeza daripada sekadar berbicara.

“Saya sebagai anak Malaysia, bangga dengan pengorbanan dan perjuangan mereka dan rakan-rakan seluruh dunia. Jadi, saya harap anak-anak ini jangan sedih. Saya tak fikir mereka terguris. Ini pejuang-pejuang handalan. Tetapi ingat, mereka ini memberi pencerahan,” katanya.

The Helmis, iaitu pasangan adik beradik selebriti Heliza dan adiknya Hazwani merupakan dua daripada 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla.

Terdahulu, 23 sukarelawan GSF dari Malaysia bersama 500 aktivis dari 44 negara yang lain ditahan tentera Israel selepas kapal-kapal mereka dipintas di perairan zon merah di Laut Mediterranean pada 2 Okt, sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Episod hitam tersebut berakhir apabila kesemua mereka selamat kembali ke tanah air kelmarin, selepas dibebaskan hasil kecekapan diplomasi Anwar yang berunding dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.

Proses pembebasan sukarelawan Malaysia juga melibatkan kerjasama erat termasuk perbincangan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata Turkiye akan terus membantu proses membawa pulang sembilan lagi rakyat Malaysia dalam misi FFC x TMTG yang juga telah ditahan Israel setelah kapal mereka dipintas pada 10.50 pagi waktu Malaysia, semalam.

“Sembilan masih di tahanan Israel. Sahabat saya, Erdogan, baru bagi mesej melalui Menteri Luarnya sampai kepada Mohamad, insya-Allah, Turkiye akan terus bantu yang sembilan itu,” katanya.
-FN

Tinggalkan komen anda