
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Khairul Anuar Abd Razab
GUA MUSANG, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Upacara tradisional ‘Chuan Deng’ atau upacara penyampaian cahaya menjadi kemuncak sambutan Pesta Tanglung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Pulai, di sini malam Isnin lalu.
Upacara itu membawa makna mendalam iaitu menyebarkan kebijaksanaan dan kasih sayang antara guru dan murid.

Ucapan Guru Besar SJKC Kampung Pulai.
Menurut Guru Besar Koh Lai Tsia, ‘Chuan Deng’ melambangkan penyebaran ilmu pengetahuan daripada guru kepada pelajar melalui simbol pencahayaan api.
“Upacara ini sebahagian daripada Pesta Tanglung yang menekankan nilai ilmu dan kasih sayang. Dulu kita gunakan lilin, tapi kini diganti dengan lampu kerana lebih mudah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pengajaran di sekolah adalah cahaya bermanfaat yang membentuk keperibadian murid.
Bendahari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sim Poh Mey berkata upacara tersebut merupakan tradisi yang wajar dikekalkan kerana ia memupuk rasa kasih sayang dan hormat dalam kalangan pelajar.

Persembahan gendang oleh pelajar SJKC Kampung Pulai.
“Pelajar perlu tahu bahawa cahaya yang dikongsi bersama tidak akan berkurangan, sebaliknya membawa kebaikan untuk semua. Ajaran guru adalah cahaya yang perlu sentiasa diingati,” ujarnya.
Selain upacara ‘Chuan Deng’, pelbagai aktiviti lain turut memeriahkan sambutan seperti persembahan gendang, tarian, nyanyian, cabutan bertuah serta aktiviti membuat kuih bulan.
Tradisi ‘Chuan Deng’ yang diwarisi turun-temurun diharap dapat terus dikekalkan dalam Pesta Tanglung agar generasi muda memahami nilai ilmu, hormat dan kasih sayang yang menjadi teras perpaduan masyarakat.
-RI





