
Laporan/foto: Akma Laily Hamdan (Maran)/RTM
MARAN, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Polis menumpaskan sindiket dikenali sebagai Fly-by-Night yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan terlibat dalam kegiatan penipuan pembelian alat ganti kenderaan serta jentera berat, membabitkan kerugian keseluruhan mangsa melebihi RM273,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang membawa kepada operasi khas di Cheras dan Semenyih, Selangor pada 29 Sept lepas, susulan laporan pertama diterima pada 25 Sept.

Antara barangan yang dirampas termasuk minyak enjin pelbagai jenama, bateri kereta serta komponen jentera berat yang digunakan sebagai bukti kes penipuan sindiket Fly-by-Night di Maran, Jerantut dan Bentong
“Dalam operasi berkenaan, dua lelaki masing-masing warga Pakistan berusia 34 tahun dan warga tempatan berusia 52 tahun ditahan, sebelum empat lagi suspek warga tempatan diberkas dalam serbuan susulan di Kajang, Selangor dan Kuching, Sarawak,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Menurut Yahaya, sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi memesan barangan melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghantar slip bayaran palsu kepada pengusaha kedai alat ganti dan bengkel.
“Mangsa kemudian menyerahkan barangan melalui perkhidmatan syarikat penghantaran, dan selepas barangan diambil, suspek menjualnya semula kepada pihak lain,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan sindiket bernilai lebih RM100,000, termasuk komponen jentera berat, minyak enjin pelbagai jenama, bateri kereta, telefon bimbit serta cop getah syarikat palsu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-AA





