Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Belanjawan 2026: 20 Inisiatif Bantu Rakyat Tangani Kos Sara Hidup

By 10 Oktober 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI terus komited membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pengurangan kos sara hidup dalam Belanjawan 2026, yang menumpukan kepada golongan berpendapatan rendah, pesawah, pelajar, penjawat awam serta masyarakat berpendapatan sederhana.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini turut mengumumkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, bagi tahun 2026, semua sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun, manakala satu juta penerima STR di bawah e-Kasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.

Kategori bujang pula katanya akan menerima RM600 setahun iaitu RM50 sebulan melalui SARA.

“Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600, iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 dan SARA RM2,400,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa pada 31 Ogos lalu, semua rakyat berumur 18 tahun ke atas telah menerima RM100 Penghargaan SARA, dan lebih 70 peratus daripadanya telah dibelanjakan.

Beliau menambah baki SARA yang tidak digunakan menjelang Disember ini akan diagihkan semula kepada program khusus bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Ini akan disalurkan pertengahan Februari 2026 yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Dalam pada itu, Jualan RAHMAH katanya diteruskan bagi memastikan rakyat memperoleh barangan asas pada harga lebih rendah, dengan peruntukan RM1 bilion bagi menangani kos sara hidup termasuk RM600 juta khusus untuk memperluas program Payung RAHMAH ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini.

Penyasaran subsidi bahan api RON95 juga dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, sekali gus membolehkan rakyat kekal menikmati harga minyak lebih rendah pada paras RM1.99 seliter menerusi BUDI95.

Dalam sektor pendidikan pula, Anwar berkata kerajaan memperkenalkan Pendidikan Percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Kerajaan turut memperuntukkan RM870 juta di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk membekalkan makanan berkhasiat kepada 870,000 murid sekolah, manakala 150,000 murid orang kurang upaya (OKU) menerima elaun RM150 sebulan dengan peruntukan RM270 juta.

Selain itu, pas MyRailLife percuma bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dan Perkhidmatan Shuttle Timuran (DMU) disediakan kepada komuniti OKU serta semua murid sekolah, dan akan diperluas kepada kanak-kanak bawah enam tahun.

Bagi sektor pertanian pula, Anwar berkata insentif pembajakan dan racun masing-masing dinaikkan kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim.

“Kerajaan juga memperkenalkan insentif baharu iaitu Insentif Penuaian Padi RM50 sehektar semusim bagi menampung penggunaan diesel untuk jentuai.

“Dianggarkan setiap pesawah menerima bantuan kira-kira RM4,300 sehektar ketimbang RM3,790 sehektar bagi setiap musim,” katanya.

Bagi menghargai khidmat penjawat awam, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Turut menerima khabar gembira itu ialah semua pesara kerajaan dan veteran berpencen serta tidak berpencen yang bakal menerima RM250 pada awal Mac tahun hadapan sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Kerajaan juga katanya akan menyalurkan sumbangan khas RM500 kepada 70,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta, di samping menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup pesara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) daripada RM300 kepada RM500 sebulan membabitkan 4,000 penerima.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan kenaikan sehingga 30 peratus gaji hakim bermula 1 Januari 2026, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting badan kehakiman yang bebas dan berintegriti.

“Kali terakhir gaji hakim dinaikkan pada 2015 dan mereka tidak menerima kenaikan gaji tahunan sepertimana skim lain. Mereka juga tidak diizinkan untuk memegang jawatan dan perniagaan.

“Atas kesedaran kita, juga sistem badan kehakiman yang pernah dianggap tercalar, tapi berbangga badan kehakiman sekarang ke arah lebih wibawa, lebih integriti dan bebas,” katanya.
-FN

Tinggalkan komen anda