Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

HSN Pendang Semarakkan Semangat Bersukan di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah

By 12 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Suasana di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah (KMKK) semalam meriah dengan kehadiran ratusan peserta sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Daerah Pendang 2025, bertemakan ‘Malaysia Aktif’ yang bertujuan memperkukuh agenda menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan (Sporting Nation).

Dam aji masih menjadi pilihan utama dalam setiap program yang dilaksanakan.

Penganjuran yang diadakan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober sebagaimana diwartakan kerajaan itu, menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam dan komuniti setempat dalam suasana riang penuh semangat kesukanan.

Tahun ini menandakan kali kedua KMKK menjadi lokasi penganjuran HSN peringkat daerah dengan pelbagai acara menarik diatur bagi menyemarakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.

Antara aktiviti yang mencuri tumpuan ialah aerobathon dua jam tanpa henti, tarik tali, himpunan motor klasik, serta permainan tradisional seperti congkak, dam aji, batu seremban dan sepak raga tuju.

Turut diadakan pertandingan petanque, tamiya mini race serta pertandingan mewarna bertemakan sukan yang menarik minat golongan kanak-kanak.

Pengunjung menyertai permainan interaktif di reruai pameran.

Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff dan turut dihadiri antaranya Pengarah KMKK, Mohammad Ariffin Abd Aziz dan Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Shamzury Zaman.

Menurut Pengerusi Kelab Rakan Muda Parlimen Pendang, merangkap pengelola bersama program, Muhamad Faiz Shabri sambutan HSN bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi wadah memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan dalam komuniti.

“Sambutan Hari Sukan Negara yang mula diperkenalkan pada tahun 2015 kini memasuki tahun ke-10 penganjurannya, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam membudayakan sukan sebagai gaya hidup sihat untuk semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Program yang berkonsepkan keseronokan dalam bersukan ini bukan sahaja menjadi platform memupuk gaya hidup sihat, tetapi turut menggalakkan interaksi antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat dalam suasana harmoni.

HSN Pendang 2025 di KMKK bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat bersukan yang menyatukan rakyat demi kesejahteraan dan perpaduan, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sihat, aktif dan bersatu.

-RI

Tinggalkan komen anda