
Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak
SUNGAI PETANI, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Lebih 2,500 peserta pelbagai peringkat umur membanjiri Padang Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) bagi memeriahkan program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Daerah Kuala Muda, yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan perpaduan.

Peserta sempat merakam kenangan bersama tetamu kehormat.
Program yang diadakan semalam itu dimulakan dengan senamrobik beramai-ramai sebagai aktiviti pemanas badan sebelum peserta menyertai acara utama larian ceria yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kanak-kanak dan dewasa.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan bagi menarik minat masyarakat, termasuk cabutan bertuah, yang menambahkan lagi kemeriahan suasana di lokasi penganjuran.
Semua peserta yang mengambil bahagian turut menerima sijil penyertaan dan medal sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka.
Acara pelepasan larian ceria telah disempurnakan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr. Mohammed Taufiq Johari manakala Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainal Abidin merasmikan majlis utama program tersebut.

Larian bermula dengan semangat membara.
Dalam ucapannya, Azmin menegaskan bahawa penganjuran HSN bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol semangat perpaduan rakyat Malaysia melalui sukan.
“HSN bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi simbol kepada perpaduan dan semangat kesukanan rakyat Malaysia. Saya berharap masyarakat Kuala Muda terus menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian,” katanya.
Penganjuran HSN peringkat daerah Kuala Muda tahun ini bukan sahaja berjaya menarik penyertaan besar daripada masyarakat setempat, malah turut memperkukuh mesej penting tentang kepentingan gaya hidup sihat dan semangat bersatu melalui aktiviti sukan.
-RI






