Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Belanjawan 2026 : Kerajaan MADANI Tekad Pastikan Pembangunan Di Sarawak

By 11 Oktober 2025Oktober 13th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Safik Effendi Kassim (Sarawak)

KUCHING, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sarawak dengan menyemangati Perjanjian Malaysia 1963 untuk merapatkan jurang pembangunan khususnya prasarana asas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat semalam berkata, Belanjawan 2026 juga menandakan lembaran pertama RMK13 yang tidak sekadar berfungsi sebagai perencanaan kewangan tahunan tetapi merupakan kompas sejarah untuk era mendatang.

“Sarawak dan Sabah antara negeri yang menerima peruntukan persekutuan tertinggi dengan masing-masing menerima peningkatan kepadaRM 6.9 bilion ketimbang RM4.4 bilion (2022) bagi Sabah manakala Sarawak pula RM6 bilion ketimbang RM2.9 bilion (2022),” katanya.

Anwar turut menambah, hasil perjumpaan dengan pemimpin negeri maka perencanaan RMK13 dibuat dengan mengambil kira permohonan semua negeri.

“Untuk Sarawak pembinaan jalan utama Bahagian Kapit dari Nanga Serau ke Nanga Seranau, Pembinaan Klinik Kesihatan dengan Kuarters Mukah dengan Kompleks Kesihatan Bersepadu Bahagian Mukah, Program Peningkatan Pengeluaran Lembu Pedaging di Sarawak, Program Pemerkasaan Industri Padi dan Beras di Sarawak
Dan Program Residensi Rakyat (PRR) Samariang, Kuching,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Sarawak akan menikmati manfaat digital yang sebaiknya melalui Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang akan dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion.

“Projek ini akan melibatkan laluan dasar laut dari Sedili di Johor, ke Kuching dan Sibu di Sarawak dan seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah,” ujarnya.

Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ merupakan belanjawan MADANI keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda