
Laporan/ foto : Aishah Latip/ Indah Putra dan Felix Harus (Sarawak)
LUNDU, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Kompleks Sukan Lundu semalam menjadi saksi pertembungan hebat dua pasukan bola sepak mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar dan ADUN Tanjung Datu dalam satu perlawanan persahabatan bola sepak yang bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kesukanan.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana meriah itu turut dihadiri ADUN Opar Billy Sujang dan ADUN Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan.

Billy (lima kanan, baris belakang) bersama pasukannya DUN Opar.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan memihak kepada pasukan ADUN Tanjung Datu apabila menang melalui lambungan syiling.
Perlawanan persahabatan itu turut mendapat sambutan hangat penduduk tempatan yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing, memperlihatkan juga suasana perlawanan yang penuh semangat persahabatan dan kekitaan.

Billy menyampaikan piala kemenangan kepada pasukan DUN Tanjung Datu.
Program tersebut turut dihadiri Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Berahim, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusuf Awang Mostapha, Ketua Polis Daerah Lundu Supritendan Sudirman Kram, Pegawai Penerangan Daerah Lundu Aishah Latip, ketua masyarakat, ketua kaum dan ahli-ahli Majlis Daerah Lundu.
Kompleks berkenaan kembali digunakan selepas kerja naik taraf selama 12 bulan bermula Julai 2024 dan siap sepenuhnya pada Julai 2025 melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta.
-RJ-





