Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

Program Kita MADANI Kukuh Permahaman Masyarakat

By 13 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: M Zakry Chan/Farisha Farnoh

KLEBANG, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Program Kita MADANI peringkat negeri Melaka yang berlangsung di Dataran Klebang, Sabtu lalu, berjaya menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan serta mempererat hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

Sidang media.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan yang merasmikan program berkenaan berkata penganjuran program berbentuk karnival itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong agenda pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

“Program ini menyantuni semua peringkat usia dan latar belakang — daripada kanak-kanak hingga dewasa. Saya percaya aktiviti sebegini bukan sahaja memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan, tetapi juga menjadi platform kerjasama antara kerajaan dan rakyat serta wadah untuk menangani kekeliruan maklumat dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Beliau menambah, antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang karnival termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran agensi kerajaan, kenduri rakyat, sukaneka dan pelbagai aktiviti lain yang bersifat inklusif dan mesra keluarga.

Malam Klebang Berselawat sempena Program Kita MADANI.

“Adalah menjadi harapan saya agar semangat kebersamaan dan kerjasama yang terjalin menerusi program seperti ini akan terus subur dan menjadi budaya hidup rakyat Melaka, bahkan seluruh rakyat Malaysia kini dan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu turut menzahirkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh nilai-nilai Malaysia MADANI, di samping mempertingkat kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam agenda pembangunan negara.

-RI

Tinggalkan komen anda