
Laporan/foto: Muhammad Naim (Jempol)
BAHAU, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Program Family Fun Walk D’Bahau @Tikir sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2025 berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 1,200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Batu Kikir dan kawasan berdekatan.
Menariknya, peserta tampil kreatif dengan pakaian bertemakan ‘Kampung Style’, lengkap dengan kain pelikat, batik, baju kedah, topi anyaman dan pelbagai gaya tradisional yang mencerminkan identiti masyarakat desa.
Tema itu bukan sahaja mencetuskan suasana nostalgia, malah menghidupkan semangat kekitaan serta kebanggaan terhadap warisan tempatan.
Menurut Pengarah Program, Nazri Ibrahim penganjuran larian ceria tersebut bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan dan gaya hidup sihat, di samping memupuk perpaduan dan semangat kekeluargaan melalui aktiviti santai yang menyeronokkan.
“Program ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi wadah untuk menyatukan masyarakat pelbagai peringkat umur agar lebih aktif, sihat dan harmoni,” katanya ketika ditemui di lokasi program.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.
Turut hadir Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Siong.
Sepanjang laluan larian santai, peserta melalui empat ‘checkpoint’ yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan hidangan tradisional tempatan, menambah kemeriahan suasana kekeluargaan.
Program ini turut mendapat sokongan padu agensi kerajaan, pertubuhan belia dan komuniti setempat, menjadikannya antara acara komuniti paling meriah dalam semangat sambutan HSN tahun ini.
-RI






