Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tokoh Silat Gayong Terima Anugerah Khas Perdana Menteri HSN 2025

By 13 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)

IPOH, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Pengasas Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Datuk Dr. Raja Abd. Majid Raja Mat Isa menerima Anugerah Khas Perdana Menteri sempena Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) peringkat kebangsaan 2025, kelmarin.

Datuk Dr. Raja Abd. Majid, 86, yang berasal dari Kampung Guar Nenas, Gurun, Kedah, mula aktif dalam dunia silat semenjak tahun 1956.

Raja Abdul Majid turut menerima wang tunai sebanyak RM15,000.

Beliau merupakan anak murid kepada Mahaguru Meor Abd. Aziz Daing Uda Mohd Hashim dan Tuan Guru Hassain Dol.

Beliau diangkat menjadi tokoh penting dalam penyusunan silibus pembelajaran Seni Silat Gayong dan memperkenalkan sistem bengkung yang digunakan sehingga hari ini.

Selain itu, beliau turut terlibat memperkenalkan warisan Melayu ini ke mata dunia apabila dijemput ke Amerika Syarikat pada tahun 1998 dan ke Mesir pada tahun 2018.

Bercakap kepada Malaysia Aktif, anaknya, Mohd Khoharullah Datuk Raja Abdul Majid, 42, berkata buah silat yang digunakan oleh pesilat kini adalah hasil cetusan bapanya dan Meor Abd. Aziz.

“Ilmu-ilmu Gayong (Seni Silat Gayong) ini dah menyeluruh ke seluruh dunia. Dari situlah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai dan Datuk Seri pun belajar dengan ayah.

“Harapan kami dan harapan ayah, supaya ilmu silat yang dipelajari ini dan diperturunkan dari generasi ke generasi agar dapat mendidik anak-anak muda kita untuk lebih berdisiplin, jaga adab, jaga rohani,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda