
Laporan/ foto: Fatin Nabila Muktar/ Warta Kedah (Kedah)
ALOR SETAR, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Ketagihan internet dan pengaruh media sosial yang berlebihan mampu menjejaskan kesihatan mental, khususnya dalam kalangan generasi muda, titah Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Titah Che Puan Muda Zaheeda ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Cawangan Negeri Kedah
Dalam titah baginda, Che Puan Muda Zaheeda menzahirkan kebimbangan terhadap kesan negatif media sosial dan teknologi digital terhadap kesejahteraan mental masyarakat, terutama golongan muda.
“Walaupun teknologi dalam talian mampu menghubungkan kita, ia juga membawa risiko besar khususnya kepada golongan muda yang terdedah kepada tekanan perbandingan, buli siber, gaya hidup hedonistik dan budaya materialisme. Risiko ini menjadi lebih membimbangkan apabila ia membawa kepada ketagihan internet,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa Majlis Pelancaran Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Cawangan Negeri Kedah di Royal Kedah Club di sini, hari ini.

Berangkat sama ke majlis Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin
Baginda turut menekankan bahawa peranan MMHA amat penting dan konsisten dalam memperjuangkan isu kesejahteraan mental masyarakat, termasuk dalam melindungi Orang Kurang Upaya Psikososial (OKUP).
Pelancaran cawangan MMHA Kedah ini menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh jaringan sokongan komuniti di peringkat negeri, selaras dengan usaha kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan memperluas akses kepada rawatan serta pemulihan psikososial.
Penubuhan ini juga diharap dapat memperkukuh sinergi antara pihak profesional, agensi kerajaan dan masyarakat dalam memastikan kesihatan mental terus diberi perhatian sebagai tunjang kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
-AA-





