Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

E-Sukan MSSD Manjung Rangsang Kerjasama, Disiplin Pelajar

By 13 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Muhammad Fakhri Md Nor (Manjung)

SITIAWAN, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Penganjuran Pertandingan E-Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Manjung bukan sekadar medan menguji kemahiran bermain, malah menjadi platform untuk memupuk nilai kerjasama, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.

Penolong Pegawai Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung, Mohd Isa Mohd Tahir berkata pertandingan itu bukan sahaja menyerlahkan bakat pelajar dalam dunia digital, malah membantu membentuk sahsiah dan sikap positif.

“Pertandingan ini menggalakkan kerjasama antara satu sama lain, merancang strategi bersama dan memiliki semangat juang yang jitu. Selain itu, ia dapat memupuk disiplin pelajar serta menjadi sebab untuk mereka lebih rajin dan fokus kepada akademik dan kokurikulum sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan di Dewan Boestaman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam, Sitiawan, semalam.

Pertandingan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu menyaksikan 25 buah sekolah dari sekitar daerah ini berentap dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), melibatkan tiga kategori utama iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 18 Tahun.

PTPS E-Sukan Negeri Perak, Mohd Hanif Tadkiran, menegaskan perkembangan E-Sukan dalam kalangan pelajar bukan sekadar hiburan, malah mampu memberi impak positif terhadap sahsiah dan masa depan pelajar.

“E-Sukan menjadi salah satu hobi atau hiburan yang sihat dan dapat mengurangkan gejala sosial yang kita hadapi sekarang. Ia juga membuka ruang serta peluang kerjaya kepada pelajar apabila mereka tamat persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan (PTPS) E-Sukan Daerah Manjung, Muhammad Farhan Mohd Yusoff, berkata pihaknya berharap penganjuran itu dapat menarik penyertaan lebih besar pada masa akan datang.

“Kita mahu pertandingan ini menjadi acara tahunan yang bukan sahaja mencungkil bakat pelajar dalam bidang E-Sukan, tetapi juga membina semangat berpasukan dan komunikasi efektif dalam kalangan mereka,” katanya.

Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist (ACS) Sitiawan mengungguli kategori bawah 12 tahun manakala kategori bawah 15 tahun dimenangi SMK Pantai Remis dan SMK Seri Manjung muncul johan kategori bawah 18 tahun.

-AA

Tinggalkan komen anda