
Laporan/ foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kedah)
BALING, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Pusat Rekreasi Air Terjun Lata Bukit Hijau di daerah Baling, Kedah yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai antara destinasi pelancongan hutan lipur utama negeri ini, kini kembali menerima kunjungan ramai selepas melalui tempoh suram akibat pandemik COVID-19.

Pintu gerbang utama juga telah dinaiktaraf.
Lata Bukit Hijau yang sinonim dengan keindahan tujuh tingkat air terjunnya pernah menjadi tumpuan utama penduduk tempatan dan pelancong luar negeri, terutama pada hujung minggu dan musim cuti umum.
Suasana riuh anak-anak bermandi-manda dan deretan peniaga kecil yang sibuk melayan pelanggan di medan selera menjadi antara kenangan yang dirindui ramai.
Namun, sekitar tahun 2019 hingga 2022, pusat rekreasi ini berdepan kemerosotan mendadak dalam jumlah pengunjung disebabkan pandemik COVID-19.
Penutupan kawasan tersebut selama lebih dua tahun menyebabkan fasiliti di sekitar kawasan berkenaan terbiar, rosak dan tidak lagi menarik minat pengunjung.
Kini, inisiatif oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mengembalikan semula seri dan daya tarikan Lata Bukit Hijau.
Pelbagai kemudahan awam dan prasarana telah dibaik pulih serta dinaik taraf secara berperingkat bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Surau juga telah dinaiktaraf untuk keselesaan pengunjung
Antara fasiliti yang telah diperbaharui termasuklah surau, tandas awam, laluan pejalan kaki, medan selera serta ruang letak kenderaan.
Langkah ini ternyata berjaya menarik semula kehadiran pelancong ke kawasan tersebut.
Seorang penduduk tempatan, Azwan Mohamad, 47, ketika ditemui melahirkan rasa gembira dengan perubahan positif itu dan berharap agar Lata Bukit Hijau kembali menjadi tumpuan seperti dahulu.
“Dahulu ramai yang datang tidak kira waktu, dan kami seronok berniaga kecil-kecilan di sepanjang laluan masuk ke Lata Bukit Hijau. Semoga kawasan ini kembali meriah seperti dulu,” ujarnya.
Kebangkitan semula Lata Bukit Hijau bukan sahaja mengembalikan nostalgia keindahan semulajadi kawasan itu, malah turut membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat melalui aktiviti perniagaan dan pelancongan.
-AA-





