Skip to main content
Berita TempatanSarawak

CBB BSN Permudahkan Urusan Bank Masyarakat Luar Bandar

By 13 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Rokayah Gobik/ Ariffin Rosli (Sarawak)

NIAH, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Kemudahan Bank Bergerak Bank Simpanan Nasional (BSN) amat membantu masyarakat luar bandar di Niah untuk urusan keperluan kewangan dan akses kepada urusan perbankan.

Khidmat Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Miri melalui Cawangan Bank Bergerak (CBB) yang beroperasi sejak 8 Disember 2022 bukan sahaja memudahkan urusan perbankan penduduk luar bandar, malah membantu meringankan kos pengangkutan mereka ke Miri atau kawasan lain untuk berurusan dengan pihak bank.

Kenderaan CBB BSN yang mermberikan perkhidmatan perbankan kerpada masyarakat luar bandar di Niah.

Pegawai Cawangan BSN Miri, Mohamad Shahrizan Atot, berkata perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak (CBB) disediakan tiga kali seminggu di RTC Bekenu (Selasa), Tamu Sepupuk Niah (Rabu) dan Dewan Masyarakat Beluru (Khamis) dari 10 pagi hingga 2 petang.

“CBB menyediakan perkhidmatan urusan pengeluaran tunai melalui mesin pengeluaran automatik (ATM), pembukaan akaun Kad Debit/i BSN VISA, simpanan tunai, pembayaran bil-bil utiliti, pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN dan beberapa urusan lain,” katanya ketika ditemui di Tamu Sepupuk Niah, baru-baru ini.

Mohamad Shahrizan Atot bersama kenderaan CBB ketika ditemui di Tamu Sepupuk Niah .

Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak (CBB) dikendalikan menggunakan kenderaan khas melibatkan empat kakitangan, terdiri daripada dua petugas BSN di kaunter dan dua anggota Polis Bantuan BSN.

Inisiatif itu banyak membantu penduduk luar bandar yang sebelum ini perlu menanggung kos dan jarak perjalanan jauh untuk berurusan di bandar.

Safuan Jali, 63, dari Kampung Dagang Niah berkata, sejak perkhidmatan CBB diperkenalkan, ia banyak memudahkan penduduk sekitar Sepupuk Niah yang sebelum ini perlu ke Batu Niah, kira-kira 20 minit perjalanan, untuk melakukan urusan seperti pembayaran bil utiliti, bantuan kerajaan dan pengeluaran tunai.

Safinah Hamdan berharap perkhidmatan CBB diperluaskan ke kawasan pedalaman seluruh Sarawak.

Safinah Hamdan, 50, bersetuju CBB amat memudahkan masyarakat membabitkan urusan perbankkan terutama bagi pemilik akaun BSN.

“CBB BSN ini perlu diperluaskan lagi terutamanya di kawasan luar bandar dan pendalaman, tidak terhad di sini sahaja tetapi juga ke seluruh Sarawak membabitkan kawasan yang aksesnya terhad untuk urusan dan kemudahan bank,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda