
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan penyelidikan dan kelestarian dengan penganjuran Syarahan Perdana Profesor Siri ke-121 yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM Johor Bahru, hari ini.

Prof. Ts. Dr. Mohd Fadhil, berkata program itu memberi pendedahan tentang keperluan kelestarian dalam bidang kejuruteraan.
Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM, Prof Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din berkata penganjuran siri syarahan perdana itu bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat serta rakan strategik UTM terhadap kepentingan pembangunan kejuruteraan yang berteraskan kelestarian.
“Tujuan kita mengadakan Inaugural Series of Professor adalah untuk membina satu kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat, terutamanya kepada rakan-rakan strategik UTM yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan kejuruteraan.
“Matlamat kita juga adalah untuk memberikan pengetahuan tentang bagaimana proses kejuruteraan memerlukan intervensi dalam bidang kelestarian, yang kini menjadi input penting kepada dasar-dasar kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut, di sini hari ini.
Tambah beliau, usaha berterusan perlu digerakkan bagi memastikan elemen kelestarian diterapkan dalam kehidupan masyarakat, bidang akademik serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Dengan adanya program seperti ini menjadi platform untuk bertukar pandangan dan idea bersama rakan strategik dalam usaha membina negara yang lebih mampan serta mencetus perbincangan mengenai isu semasa seperti krisis perubahan iklim,” ujarnya.

UTM menganjurkan Syarahan Perdana Profesor Siri ke-121 menampilkan Prof. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din, Pengarah Pelestarian Kampus.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad yang menyifatkan syarahan tersebut sebagai wadah penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih atas jemputan ke syarahan perdana Prof Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din yang menekankan aspek kemanusiaan dan kelestarian alam sekitar.
“Ini sangat relevan dengan usaha kami di Kota Iskandar untuk menerapkan konsep low carbon (karbon rendah) serta menjadikan Kampung Sungai Melayu sebagai kampung lestari,” katanya.
Program Syarahan Perdana Profesor Siri ke-121 merupakan sebahagian daripada komitmen UTM dalam memperkukuh budaya ilmu dan perkongsian kepakaran antara akademia, industri serta masyarakat, khususnya dalam bidang pembangunan mampan dan inovasi teknologi hijau.
-RI





