
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad /Johnny George Kimlon(Sipitang)
SIPITANG, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan akan melaksanakan langkah pengesahan identiti pengguna media sosial bagi mengekang penyalahgunaan platform digital yang semakin membimbangkan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) ketika sesi walkabout bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Sindumin, Sipitang.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah tersebut bakal diperincikan dalam perbincangan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain yang dijadualkan mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok, Meta dan beberapa platform utama lain di Singapura, minggu hadapan.
“Pelaksanaan itu dijangka melibatkan penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID sebagai bukti identiti sah sebelum seseorang dibenarkan memiliki akaun media sosial.
“Saya telah mengarahkan MCMC bersama agensi berkaitan untuk bertemu dengan syarikat platform media sosial bagi menegaskan bahawa masalah ini perlu diuruskan secara menyeluruh. Kita mahu mereka melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sindumin dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (dua dari kiri) ketika sidang media.
Fahmi berkata langkah itu diambil susulan kegagalan platform seperti TikTok memastikan pengguna bawah umur tidak membuka akaun media sosial walaupun perkara itu telah termaktub dalam garis panduan komuniti platform berkenaan.
“Kerajaan memandang serius penyalahgunaan media sosial oleh penjenayah siber, termasuk sindiket penipuan dan judi dalam talian.
“Dalam jawapan saya di Parlimen semalam, saya nyatakan bahawa 78 peratus kandungan penipuan (scam) yang telah diturunkan berasal dari Facebook. Ini menjadikan Facebook antara platform paling bermasalah dan paling banyak mendatangkan kerugian kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata kerajaan telah memberi mesej jelas kepada Meta selaku syarikat induk Facebook supaya memperketatkan proses pengesahan identiti bagi akaun yang menjalankan aktiviti pengiklanan di Malaysia.
-FN








