Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Bantah Kandungan Filem, Drama Unsur Buli serta Keganasan

By 16 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor membantah sekeras-kerasnya sebarang penerbitan filem, drama atau iklan yang menonjolkan unsur keganasan dan buli daripada disiarkan di pawagam atau dimuat naik di platform penstriman atas talian.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Negeri Aznan Tamin berkata kandungan seperti itu berpotensi memberi kesan negatif terhadap minda dan emosi pelajar serta remaja.

“Pihak berkepentingan disaran melakukan penapisan kandungan secara menyeluruh sebelum disiarkan bagi mengelak pengaruh negatif terhadap golongan muda, khususnya pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya kerajaan negeri memandang serius penyebaran kandungan yang boleh menormalisasi budaya buli dan keganasan dalam kalangan remaja, sedangkan sekolah seharusnya menjadi tempat selamat dan sejahtera untuk anak-anak menimba ilmu.

Aznan berkata pendirian itu sejajar dengan titah keprihatinan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang menzahirkan kebimbangan berhubung beberapa insiden yang berlaku di sekolah-sekolah baru-baru ini.

“Pandangan Seri Paduka Baginda amat signifikan dalam memperkukuh usaha memastikan kesejahteraan dan keselamatan murid di Johor sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Kempen Anti-Buli Johor terus mempergiat pelbagai langkah bagi membanteras isu disiplin dan salah laku di sekolah, dengan matlamat memastikan 1,195 buah sekolah di Johor kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif.

Kempen tersebut turut memperkukuh mesej penting bahawa Buli Bukan Budaya Johor sebagai seruan moral kepada warga pendidik, murid, ibu bapa dan masyarakat.

Aznan berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkasakan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk menjalankan pemantauan berkala setiap dua minggu sekali.

“Pemantauan ini penting bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin dan tindakan pantas dapat diambil terhadap sebarang laporan yang diterima,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda