
Laporan/ foto : Mohd Hanif Ahmad/ Burhanuddin Jamil (Mersing)
MERSING, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 1,200 orang petani, penternak dan nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh menerima manfaat daripada Program Bantuan Kasih Johor One-Off 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM240,000.

Raven Kumar menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor DUN Tenggaroh 2025
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri K. Raven Kumar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada 42 inisiatif tambahan kerajaan negeri Johor di bawah program Bantuan Kasih Johor One-Off 2025 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM209 juta tahun ini.
“Pelaksanaan bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam berkongsi hasil kemakmuran ekonomi dengan rakyat serta menunjukkan keprihatinan terhadap beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan petani, penternak dan nelayan.
“Saya ucapkan terima kasih atas kerjasama erat Pejabat Pertanian Daerah Mersing, Pejabat Perikanan Daerah Mersing dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Mersing dalam menjayakan pelaksanaan bantuan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Penerima Bantuan Kasih Johor, Johan Othman, nelayan dari Kampung Tanjung Balang Pulau Tinggi
Salah seorang penerima bantuan, Johan Othman, 57, nelayan dari Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi, berkata beliau amat bersyukur dengan bantuan yang diterima.
“Bantuan ini amat membantu terutama bagi membeli keperluan harian menjelang musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.
Program berkenaan diharap dapat memberi manfaat terus kepada golongan sasar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri Johor, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan tiada komuniti tercicir dalam arus pembangunan dan kemakmuran negeri.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Mersing Marfi’ah Sodono, Pegawai Veterinar Daerah Mersing Nor Najmi Abdullah, Pegawai Perikanan Daerah Mersing M. Amir Zainal Abidin, dan Penghulu Mukim Mersing Mohd Ezwan Jamigoe.
-AA-





