Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Jiwa@Komuniti MADANI Semarak Semangat Kebersamaan Penduduk

By 16 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Md Sazali Ab Hamid (Sik)

SIK, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik yang berlangsung di Surau Al-Hidayah, KEDA Sungai Senang semalam berjaya menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti komuniti.

Program anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Sik dan Komuniti MADANI Parlimen Sik itu bertujuan memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat akar umbi selain menjadi platform penyampaian maklumat dasar kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Demontrasi Cardiopulmonary Resuscitation ( CPR ) oleh Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sik

Pegawai Penerangan Daerah Sik, Muhammad Hafiz Izham, yang merasmikan program berkenaan berkata, inisiatif seumpama itu bukan sekadar ruang interaksi sosial tetapi juga wadah memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar Kerajaan MADANI termasuk pelaksanaan Belanjawan 2026 dan program BUDI95 yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi saluran bagi menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat secara bersemuka,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Program turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi bantuan pernafasan (CPR) oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), taklimat kebajikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik, serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan Kampung Betong.

Roti dan Burger yang dijual dengan harga RM1

Antara tarikan utama ialah jualan burger dan roti pada harga RM1, serta Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan kepada penduduk sekitar.

Bagi memeriahkan suasana, pelbagai pertandingan diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pertandingan aneka pulut berhias, gubahan tuala, dan kerabu, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Program turut menampilkan ucapan aluan oleh Penyelaras Komuniti MADANI Parlimen Sik, Habib Muhaiyudin Habib Danial, serta Pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 4 Sik, Muhammad Fikri Zulkifli, yang menekankan pentingnya penglibatan komuniti dalam menjayakan agenda pembangunan berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI.

-AA-

Tinggalkan komen anda