
Laporan /foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM14 juta hasil tiga siri serbuan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 13 hingga 14 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata lima individu tempatan berusia 29 hingga 38 tahun ditahan termasuk sepasang suami isteri yang berperanan sebagai penjaga stor.

Hussein menunjukkan gambar rumah teres di Batu Caves dan kenderaan yang digunakan pihak sindiket dadah
Menurutnya, serbuan di sebuah rumah teres di Batu Caves berjaya merampas 200 kilogram (kg) ketamin dan 125kg methamphetamine dianggarkan bernilai RM14 juta.
Jelasnya, dua lagi serbuan di Wangsa Maju berjaya menahan tiga lelaki lain yang dipercayai juga ahli sindiket.
“Sindiket ini aktif sejak awal tahun dan menjadikan rumah di Lembah Klang sebagai stor sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Katanya polis turut menyita enam kenderaan dan barangan kemas bernilai RM300,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM14.3 juta. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah,” tegas beliau.
-AA-





