
Laporan/ foto: Fatin Nabila Muktar/ Facebook JKR Daerah Kota Setar (Kedah)
JITRA, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Sebanyak 519 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjalan lancar dengan 253 projek siap lebih awal daripada jadual, manakala 266 lagi mengikut jadual yang ditetapkan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.

Tinjauan Timbalan Menteri Kerja Raya ke projek membina jalan dan Jambatan Alor Ganu/ Titi Gajah hingga ke Titi Besi
Menurutnya, pencapaian itu adalah sebahagian daripada 865 projek bernilai RM49.67 bilion di bawah pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Daripada 865 projek itu, 253 atau 29.25 peratus siap lebih awal dan 266 atau 30.75 peratus mengikut jadual. Ini berita gembira untuk semua yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Projek Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/ Titi Gajah hingga ke Titi Besi, di sini, semalam.
Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa 383 projek bernilai RM16.36 bilion telah siap sepenuhnya dan kini berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).
Beliau menegaskan agar semua kontraktor memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual atau lebih awal tanpa menjejaskan kualiti.
Kementerian Kerja Raya komited memastikan setiap projek awam dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti, demi menjamin manfaat terus kepada rakyat dan pembangunan negara.
-AA-





