
Laporan/ foto : Jemat Saie (Sarawak)
LUNDU, 21 Okt (MalaysiaAktif) – Ketam nipah kini menjadi antara hasil laut yang membantu meningkatkan pendapatan nelayan di kawasan pesisir Sampadi kerana permintaan tinggi daripada pembeli tempatan dan luar daerah.
Memandangkan ketam nipah terkenal dengan isi tebal dan rasa manisnya, ia sering menjadi pilihan penggemar makanan laut sehinggakan ramai nelayan kini menjadikan penangkapan ketam nipah sebagai sumber rezeki utama.

Ramai mengaku ketam nipah di Sampadi antara ketam terbaik dan berkualiti.
Sampadi merupakan kawasan hutan paya bakau yang luas menjadikan lokasi itu antara lubuk utama habitat ketam nipah dan ia antara penyumbang utama bekalan ketam nipah untuk pembeli yang meminatinya.
“Kebelakangan ini, hasil tangkapan kami semakin meningkat kerana faktor cuaca yang baik membolehkan sekali-sekala 8 hingga 15 belas kilogram ketam ditangkap,” kata Fahmi Rizki, 46, nelayan tempatan di sini ketika ditemui Malaysia Aktif kelmarin.
Katanya bekalan ketam yang sentiasa mencukupi bukan sahaja menstabilkan permintaan dan bekalan untuk pembeli tetapi juga menguntungkan golongan nelayan ketam itu kerana harga pasaran adalah sekitar RM12 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada saiz.
Hakikatnya, ramai pelanggan mengakui bahawa kualiti dan saiz ketam yang dijual di situ amat berbaloi apabila ketam betina yang berisi telur sentiasa menjadi rebutan sementara ketam jantan pula terkenal dengan isinya yang padat dan manis.

Proses pemilihan ketam untuk diberikan gred sebelum dijual.
Rohana Azra, 51, salah seorang pembeli yang sering kali membeli ketam nipah memberitahu beliau sanggup datang dari Kuching setiap bulan semata-mata untuk membeli ketam nipah segar dari nelayan di situ.
“Berbanding ketam dari tempat lain, sini isinya padat dan manis, kadang-kadang pula saya beli banyak untuk dibekukan sebab anak-anak pun suka sangat,” katanya.
Bagi penggemar makanan laut, ketam nipah dari Sampadi bukan sekadar hidangan, ia adalah cerita tentang laut, kerja keras dan tradisi nelayan yang diwarisi turun-temurun.
Dari jaring nelayan ke meja makan pelanggan, setiap ketam membawa rezeki yang menghubungkan dua dunia, dunia laut dan dunia pembeli.

Bekalan sentiasa mencukupi bergantung kepada faktor cuaca yang sentiasa baik kebelakangan ini di Sampadi.
Kejayaan nelayan Sampadi memanfaatkan hasil laut tempatan bukan sahaja menjamin sumber ekonomi mereka malah turut memperkenalkan kawasan iberkenaan ni sebagai salah satu destinasi makanan laut segar di Sarawak.
Melalui permintaan dan sokongan berterusan daripada pembeli, ketam nipah terus menjadi simbol rezeki dan kebanggaan komuniti nelayan Sampadi.
-RJ-





