Skip to main content
Berita TempatanSarawak

APM Bau dan PKD Bau Juara Pertandingan Bola Tampar MAKSAK Daerah Bau 2025

By 21 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)

BAU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bau dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bau masing-masing dinobatkan sebagai juara bagi kategori lelaki dan wanita Pertandingan Bola Tampar Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Daerah Bau 2025 yang berakhir kelmarin.

Billy (tiga kanan) bersama Pasukan APM Bau yang dinobatkan juara kategori lelaki dalam pertandingan tersebut setelah berhasil menumpaskan Pasukan Bau Cops.

Pertandingan selama tiga hari itu berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Buso dan berjaya menarik penyertaan 10 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita daripada pelbagai jabatan termasuk agensi kerajaan di daerah berkenaan.

Pasukan APM Bau menewaskan Bau Cops untuk muncul juara kategori lelaki manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Bau selepas menumpaskan pasukan Jabatan Sukarelawan Masyarakat (RELA) Bau.

Bagi kategori wanita, PKD Bau menewaskan Bau Cops untuk meraih kejuaraan manakala APM Bau menduduki tempat ketiga apabila mengalahkan Pasukan Medic Bau.

Pasukan PKD Bau merangkul juara apabila berjaya menewaskan Pasukan Bau Cops bagi kategori wanita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang merasmikan majlis penutupan pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Ketika berucap, Billy merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan pertandingan tersebut sebagai aktiviti tahunan yang memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penjawat awam.

ADUN Opar Billy Sujang melakukan simbolik perasmian penutupan Pertandingan Bola Tampar MAKSAK Daerah Bau 2025 di Dewan Serbaguna Kampung Buso.

“Pertandingan seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam tetapi juga memperkukuhkan hubungan silaturahim dan meningkatkan semangat kerja berpasukan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda