Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Saringan Kanser Bergerak Dekati Komuniti Luar Bandar Tanjung Manis

By 21 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Helmie Eknie (Sarawak)

BELAWAI, 21 Okt (MalaysiaAktif) – Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah telah menganjurkan Program Saringan Kanser Bergerak selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Oktober bertempat di perkarangan Klinik Kesihatan Belawai, daerah Tanjung Manis.

Program ini menyasarkan penduduk kampung sekitar Tanjung Manis termasuk dari kawasan Pulau Bruit dengan objektif utama meningkatkan kesedaran dan akses terhadap pemeriksaan awal kanser dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Lori treler Klinik Bergerak MAKNA untuk program Saringan Kanser Bergerak di hadapan premis Klinik Kesihatan Belawai.

Selain pameran dan ceramah kesedaran kanser bagi mendidik masyarakat tentang risiko dan langkah pencegahan awal, perkhidmatan lain yang ditawarkan secara percuma kepada golongan B40 termasuk saringan mamogram, pemeriksaan ultrasound payudara dan ujian kit iFOBT bagi pengesanan kanser usus.

Turut disediakan pemeriksaan klinikal payudara oleh jururawat terlatih MAKNA dan konsultasi keputusan saringan kesihatan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Peserta program sedang menanti giliran untuk proses saringan di Klinik Kesihatan Belawai.

Norulhuda Kri, 43, dari Kampung Penibong, Pulau Bruit ketika ditemui berkata program tersebut amat baik kerana melalui perlaksanaannya mereka dapat mengetahui mengenai keadaan sebenar kesihatan sendiri.

“Program ini bukan sekadar bertujuan untuk mengesan penyakit yang mungkin ada pada kami tetapi apa yang penting adalah ia mendidik supaya lebih waspada dengan risiko kanser yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia dan jantina,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Rugayah Saluhi, 53, dari Kampung Betanak berkata program berkenaan sangat baik namun jarak lokasinya agak jauh dari Pulau Bruit dan mencadangkan agar ia dapat dilaksanakan lebih dekat dengan Pulau Bruit.

Petugas MAKNA bertugas melayani peserta program.

Sementara itu, Fatimah Uri Hanifah, 59, dari Kampung Belawai meluahkan rasa syukur atas inisiatif kerajaan tersebut kerana kerana ia percuma dan mereka tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan sebaliknya didatangi termasuk diberikan perkhidmatan secara langsung oleh MAKNA.

Program tersebut dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkasakan komuniti luar bandar dengan pengetahuan dan sumber pengesanan awal kanser, selain mewujudkan rangkaian pemeriksaan berstruktur bersama organisasi kesihatan tempatan termasuk menekankan sistem susulan yang menyeluruh bagi memastikan peserta menerima sokongan berterusan selepas saringan dijalankan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda