
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JWP
LABUAN, 22 Okt (MalaysiaAktif) – Program Media Famtrip Persatuan Penggiat Media Labuan berjaya mengeratkan hubungan antara pengamal media, Perbadanan Labuan (PL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Media Labuan turut memeriahkan Majlis Perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2025
Menurut Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan Jainudin Djimin program itu menjadi ruang dan peluang pihaknya untuk berinteraksi dengan pemegang taruh yang penting seperti PL dan JWP.
“Kami amat beruntung kerana diberi peluang menyertai program ini agar kami dapat meluaskan rangkaian hubungan media Labuan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk bersama rakan-rakan media di Putrajaya.
“Kami juga berpeluang melihat sendiri pelbagai acara dan aktiviti pelancongan yang menarik untuk dijadikan input berguna bagi kami bertukar pandangan dengan PL bagi meningkatkan pembangunan Labuan khasnya dalam sektor pelancongan,” katanya semasa ditemui media, di sini pagi tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PL dan JWP atas kesudian membawa ahli-ahli Persatuan Penggiat Media Labuan menyertai program bermula 16 hingga 20 Oktober lalu.

Jainudin (paling kanan) bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat PL, Hasmizulizam Hamidon (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pegawai Balai Seni Negara.
“Saya mewakili rakan-rakan media Labuan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PL dan JWP kerana memberi peluang berharga menyertai program lawatan ini yang banyak memberi manfaat dan diharap program-program ini akan diteruskan di masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, seramai lapan orang ahli Persatuan Penggiat Media Labuan telah dibawa ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk melawat ke beberapa tempat menarik seperti Festival Taman Kuala Lumpur 2025, Balai Seni Negara, Wonderfood Museum dan Kampung Agong.
-RI





