Skip to main content
Berita TempatanSabah

Projek Gantian Penuh SK Nanamun Siap Lebih Awal, Bukti Komitmen Kerajaan Persekutuan

By 24 Oktober 2025Oktober 25th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahathir Mohd Kamal/ Uslee Wahit (Kota Belud)

KOTA BELUD, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan gantian penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17.3 juta siap lebih awal daripada jadual asal, sekali gus memberi kemudahan baharu yang lebih selesa kepada warga sekolah berkenaan.

Projek yang melibatkan pembinaan 12 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum siap sepenuhnya pada 5 Ogos 2025, lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan amat dinanti-nantikan oleh warga sekolah dan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.

Ahmad Maslan menyaksikan sesi menandatangani plak projek siap sebagai simbolik penyerahan rasmi projek pembinaan gantian penuh SK Nanamun.

“Ibu bapa dan guru tertunggu-tunggu projek ini dan saya yakin projek ini memberi petanda yang bagus untuk kawasan DUN Pintasan dan mudah-mudahan menjadi pencetus pembangunan berterusan oleh kerajaan bertanggungjawab.

“Semoga pemilihan yang betul pada 29 November ini dan pada 30 November Sabah akan mendapat kerajaan yang mantap dan stabil untuk kebaikan rakyat, negeri dan negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap SK Nanamun di sini kelmarin.

Projek pembangunan yang bermula pada 14 Julai 2022 ini akan mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran (PDP) yang lebih kondusif serta selesa kepada seramai 295 warga sekolah di SK Nanamun.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP Sabah), Datuk Mohd Razali Wahab yang menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan penyediaan infrastruktur pendidikan berkualiti untuk rakyat Sabah, khususnya di daerah Kota Belud.

-RJ-

Tinggalkan komen anda