Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kreativiti Usahawan Muda Lonjak Populariti Sushi Tempatan

By 26 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 26 Okt (MalaysiaAktif) – Keazaman dan kreativiti seorang usahawan muda daripada Kampung Kuak Hulu, di sini membuktikan bahawa cita rasa tempatan mampu menyerlah dalam hidangan antarabangsa.

Aishah sedang menyediakan sushi untuk dijual.

Usahawan Siti Aishah Azman, 24, mula berkecimpung dalam bidang pembuatan sushi sejak enam tahun lalu selepas mengikuti beberapa kursus asas penyediaan makanan Jepun.

Minat mendalam terhadap bidang kulinari mendorongnya bereksperimen dengan resipi tradisional sushi dan menyesuaikannya mengikut cita rasa tempatan.

Di samping minat, permintaan tinggi juga menjadi titik tolak untuk menceburi perniagaan makanan popular Jepun yang mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurut Aishah, selain mengikuti kursus, beliau turut mempelajari pembuatan menu ini melalui media sosial dan diolah sendiri mengikut citarasa tempatan.

“Saya mahu pelanggan menikmati sushi dengan rasa yang lebih dekat di hati tanpa meninggalkan keaslian hidangan asalnya,” katanya ketika ditemui di gerai miliknya di D’Cabin Tasek Takong, di sini baru-baru ini.

Sushi makanan popular masyarakat Jepun di olah mengikut citarasa tempatan

Hasil usaha dan keunikan yang ditampilkan mendapat sambutan menggalakkan pelanggan khususnya golongan muda yang menggemari hidangan tersebut.

Sushi hasil ciptaan beliau kini bukan sahaja dikenali di sekitar Pengkalan Hulu, malah turut menerima tempahan daripada pelanggan luar daerah.

Harga jualan setiap satu sushi bermula RM1 hingga RM5 yang memberikan pilihan kepada pelanggan untuk menikmatinya dengan harga yang berpatutan dan halal.

Aishah turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya ke peringkat lebih tinggi dengan membuka premis tetap pada masa akan datang.

“Saya berharap kejayaan kecil ini dapat menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk berani mencuba dan berinovasi serta membuktikan bahawa golongan belia berpotensi besar dalam memperkukuh ekonomi setempat melalui keusahawanan kreatif,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda