Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Perayaan Cahaya Lambang Perpaduan Rakyat Malaysia

By 26 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 26 Okt (MalaysiaAktif) – Sambutan Deepavali peringkat Parlimen Selayang berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai kaum yang bersama-sama meraikan perayaan cahaya itu sebagai simbol perpaduan rakyat Malaysia.

William sedang menyalakan pelita sebagai simbolik sambutan Deepavali peringkat parlimen Selayang

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata Deepavali bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Hindu di kuil dan di rumah, tetapi turut dikongsi bersama semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Menurutnya, sambutan itu mencerminkan kekuatan sebenar rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Deepavali bukan sekadar kemenangan cahaya mengatasi kegelapan atau kebaikan mengatasi kejahatan, tetapi lebih penting ialah nilai-nilai kemanusiaan seperti kefahaman, kepercayaan dan perpaduan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan berkenaan di Selayang Segar, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer yang juga EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari.

Kehadiran pelbagai kaum memeriahkan sambutan Deepavali peringkat parlimen Selayang di Selayang Segar

William turut menegaskan bahawa kehadiran masyarakat pelbagai kaum ke majlis itu membuktikan bahawa perpaduan merupakan asas kekuatan negara.

“Di sini bukan sahaja ada masyarakat India dan penganut Hindu, tetapi juga sahabat-sahabat Melayu, Cina dan lain-lain kaum yang datang dari seluruh kawasan untuk meraikan bersama. Inilah identiti Malaysia, perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.

Tambahnya sambutan pelbagai perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri melambangkan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kepada keharmonian Malaysia.

“Nilai ini bukan sekadar nilai agama, tetapi nilai kemanusiaan sejagat yang membentuk masyarakat bahagia dan bersatu padu.

“Hanya di Malaysia kita dapat lihat keindahan seperti ini,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda