
Laporan/ foto : Dr Ngalih Tingi (Sarawak)
PAKAN, 27 Okt- (MalaysiaAktif) – Komitmen terhadap pendidikan sebagai keutamaan tertinggi dalam pembangunan modal insan di Pakan terus diperkukuhkan melalui penganjuran Program Seminar Pelajar dan Kerjaya Masa Depan yang berlangsung di Rumah Jetphre Empali, Jagoi di sini, semalam.
Program yang disertai seramai 150 pelajar Tingkatan 4 dan 5, guru dan ibu bapa itu bertujuan mendedahkan para pelajar kepada kepentingan pendidikan berkualiti dan memberi pencerahan mengenai hala tuju kerjaya dalam era digital.
Teks ucapan perasmian program oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dibaca Profesor Dr Noria Tugang yang mewakili beliau.

Professor Dr Noria Tugang (tengah) bersama dengan peserta Seminar Pelajar dan Kerjaya Masa Depan di Rumah Jetphre Empali.
Menurut Mawan, yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap Presiden Sarawak Dayak National Union (SDNU), pendidikan adalah keutamaan tertinggi dalam agenda pembangunan modal insan di Pakan.
“Untuk memastikan Pakan terus membangun dan maju, kita mesti melabur sepenuhnya dalam modal insan yang bermula dengan pendidikan berkualiti sebagai komitmen hati nurani untuk merapatkan jurang pendidikan antara luar bandar dan bandar,” katanya.
Dalam teks ucapan tersebut, Mawan turut menegaskan bahawa pihak sekolah dan SDNU yang menyediakan platforrm akan beliau bantu untuk mendapatkan pembiayaan bagi tujuan tersebut.
“Walau bagaimanapun, kejayaan muktamad bergantung kepada sokongan ibu bapa dan komuniti,” katanya lagi.
Terdahulu, Tuai Rumah Jetphre Empali, 61, dalam ucapannya berharap para peserta menggunakan peluang keemasan melalaui program ini untuk berkongsi ilmu dengan penceramah yang berpengetahuan.
Sementara itu, Profesor Dr Noria, 63, Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merangkap Penyelaras Unit Pendidikan SDNU, dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama holistik antara semua pihak.

Sesi ceramah Dr Noria Tugang tengah berkaitan Motivasi Ke Arah Cemerlang Dalam Pendidikan.
Dr Ngalih Tinggi, 47, yang juga merupakan penceramah di program tersebut menyarankan pelajar dan ibu bapa di luar bandar supaya membuka mata terhadap kaedah pembelajaran masa kini untuk seiring dengan arus dunia digital.
Tajuk ceramah yang disampaikan merangkumi Motivasi Ke Arah Cemerlang Dalam Pendidikan oleh Profesor Dr. Noria Tugang, Pengurusan Diri dan Pembangunan Sahsiah oleh Graman Ringi, Fokus Kepada Kecemerlangan Akademik disampaikan Dr John Francis Noyan dan Menyalakan Inovasi untuk Kerjaya Masa Depan, Dr Ngalih Tingi.
-RJ-





