Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pindaan Akta 672 Dorong Masyarakat Lebih Bertanggungjawab Terhadap Kebersihan — SWCorp

By 28 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 28 Okt (MalaysiaAktif) – Pindaan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang bakal berkuat kuasa 1 Januari 2026 diyakini mampu meningkatkan tahap kesedaran serta rasa tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan awam.

Majlis Perasmian Jelajah Perlis Bersih Tahun 2025-2026 di adakan di Taman Buah-Buahan Eksotik Perlis ,Sungai Batu Pahat,Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata pindaan tersebut memperuntukkan hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam iaitu satu langkah yang menekankan pendekatan mendidik selain menghukum.

“Pendekatan ini bukan sekadar menghukum tetapi mendidik, selari dengan amalan terbaik negara maju seperti Jepun dan Singapura. Saya menyeru masyarakat di Perlis untuk menyambut reformasi ini dengan sikap positif demi budaya kebersihan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Jelajah Perlis Bersih 2025, anjuran SWCorp dengan kerjasama kerajaan negeri Perlis sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK), di sini Ahad lalu.

Menurutnya, program tersebut adalah kesinambungan usaha SWCorp bersama kerajaan negeri memupuk budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat selain menyokong promosi Tahun Melawat Perlis 2025.

Program yang diadakan di Taman Buahan-Buahan Eksotik, Batu Pahat itu menjelajah ke lima lokasi, menampilkan pelbagai aktiviti kesedaran awam yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar serta pembentukan masyarakat yang memiliki nilai murni dalam penjagaan kebersihan.

“Penganjuran Program Jelajah pada tahun ini adalah kali pertama SWCorp melaksanakannya secara serentak di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672, dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Pada masa sama, program turut meraikan kejayaan sekolah-sekolah yang memenangi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Perlis edisi ke-11, yang disertai 21 buah sekolah rendah dan menengah.

Penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Kitar Semula Sekolah -Sekolah Peringkat Negeri Perlis 2025 turut diadakan.

Beliau berkata bagi tahun ini sebanyak 69 buah sekolah menyertai pertandingan itu dengan jumlah kutipan barangan kitar semula mencecah 58.35 tan.

“Pencapaian ini menyumbang secara langsung kepada usaha mencapai sasaran kadar kitar semula 40 peratus bagi tahun 2025,” katanya.

Jelas beliau, inisiatif seumpama Jelajah Perlis Bersih membuktikan komitmen SWCorp dalam memperkukuh kesedaran awam, di samping menyokong dasar kerajaan memperkasa ekonomi kitaran dan memperkukuh budaya kebersihan dalam kalangan rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda