Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Makam Sultan Kedah Ke-14 Terus Terpelihara, Lambang Warisan Islam Abad ke-17

By 29 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ku Nurul Shan Ku Isa/Md Zabata Ibrahim (Kubang Pasu)

KUBANG PASU, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Makam Almarhum Sultan Muhyiddin Mansor Shah Ibni Almarhum Sultan Rijaluddin Muhammad Shah, Sultan Kedah ke-14 yang memerintah dari tahun 1652 hingga 1662, terus terpelihara sebagai lambang warisan sejarah dan seni Islam di Kampung Chegar, Tunjang, di sini.

Batu nisan masih terpelihara.

Terletak di kawasan kampung yang tenang, makam berusia lebih 360 tahun itu menjadi bukti kewujudan pemerintahan Kesultanan Kedah yang berakar umbi sejak abad ke-17 dan terus dijaga penduduk setempat hingga kini.

Menurut catatan sejarah, Almarhum Sultan Muhyiddin Mansor Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada Jumaat, 4 Oktober 1652 Masihi bersamaan 1 Zulkaedah 1062 Hijrah bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Rijaluddin Muhammad Shah, Sultan Kedah ke-13 yang memerintah antara tahun 1626 hingga 1652.

Baginda mangkat pada Rabu, 4 Januari 1662 Masihi bersamaan 13 Jamadilawal 1072 Hijrah selepas memerintah selama satu dekad.

Penduduk Kampung Chegar, Khadijah Bakar, 59, berkata makam tersebut bukan sahaja menjadi mercu tanda sejarah tetapi juga sebahagian daripada identiti kampung berkenaan.

Papan tanda makam boleh dilihat dari tepi jalan.

“Makam ini sudah lama ada di sini, dan kami di Kampung Chegar memang menjaga serta memeliharanya sebagai tanda hormat kepada warisan kesultanan negeri,” katanya.

Makam tersebut mengekalkan ciri asalnya termasuk batu nisan tradisional berukir tulisan Jawi lama, yang mencerminkan seni bina Islam pada abad ke-17.

Keadaan ini menjadikan makam tersebut antara lokasi penting dalam peta warisan sejarah Kedah.

Pemeliharaan makam itu bukan sahaja melambangkan rasa tanggungjawab masyarakat setempat terhadap sejarah negeri, tetapi turut memperkukuh nilai kesetiaan dan penghargaan terhadap institusi kesultanan yang menjadi teras identiti Kedah sejak ratusan tahun lalu.

-RI

Tinggalkan komen anda