Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Makam Puteri Lindungan Bulan Lambang Legenda, Warisan Kesultanan Kedah

By 29 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Zabata Ibrahim (Kubang Pasu)

JITRA, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Di sebalik kehijauan Kampung Siputeh, Mukim Padang Sera, tersimpan sebuah tapak bersejarah berusia ratusan tahun yang menjadi lambang legenda dan warisan Kesultanan Kedah iaitu Makam Puteri Lindungan Bulan, dipercayai tempat persemadian Puteri Kesultanan Kedah abad ke-16, Tengku Zaleha, anakanda kepada Sultan Sulaiman Shah II.

Batu Penerangan Makam Puteri Lindungan Bulan.

Makam yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Jitra ini menarik perhatian pelancong serta pencinta sejarah tempatan kerana kisah unik yang melatari gelaran ‘Puteri Lindungan Bulan’.

Menurut legenda, Tengku Zaleha disembunyikan dalam kubu bawah tanah ketika Kota Siputeh diserang musuh dan tempat persembunyian itu begitu rahsia hingga ‘bulan pun tidak dapat menembusi sinarnya’.

Penjaga makam, Mat Nayan Mat Hassan, 74, berkata kawasan itu sering dikunjungi pelajar dan pelancong yang ingin mendalami sejarah Kesultanan Kedah.

“Walaupun kecil, tempat ini membawa kisah besar tentang pengorbanan, cinta dan kesetiaan seorang puteri terhadap negeri dan keluarganya,” katanya ketika ditemui di tapak berkenaan, baru-baru ini.

Mat Nayan memberikan penerangan mengenai sejarah Makam Puteri Lindungan Bulan.

Selain nilai sejarahnya, kawasan sekitar makam turut menempatkan sepohon pokok ‘lokcan’, yang menurut ahli sejarah menjadi bukti hubungan Kedah dengan kerajaan Aceh pada zaman silam.

Bagi memastikan kawasan itu terus terpelihara, pihak berkuasa tempatan melaksanakan usaha pemuliharaan termasuk membersihkan persekitaran dan memasang papan tanda maklumat bagi kemudahan pengunjung.

Makam Puteri Lindungan Bulan bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi juga lambang keteguhan, keindahan dan nilai kasih dalam legenda Melayu yang terus hidup dalam ingatan masyarakat hingga ke hari ini, menjadikan tapak ini destinasi warisan penting di utara Kedah.

-RI

Tinggalkan komen anda