
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Pejabat Daerah Tangkak (Tangkak)
TANGKAK, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Dua tokoh pentadbiran daerah diraikan dalam Majlis Sejambak Kasih Sanjungan Budi bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada pembangunan daerah Tangkak.
Mantan Pegawai Daerah Tangkak yang kini berkhidmat di Institut Dato’ Onn (IDO) Ts Mohd Johari Tarmidi serta mantan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Mohd Nazid Jasiman yang kini bertugas di Majlis Perbandaran Batu Pahat diraikan dalam satu majlis penuh makna di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, di sini kelmarin.

Penyampaian sijil penghargaan kepada agensi yang bersama menjayakan program Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 baru-baru ini.
Mohd Johari berkata beliau rasa bersyukur dan bangga atas pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang tempoh pentadbiran beliau di daerah Tangkak.
“Antara kejayaan yang amat membanggakan ialah pemilihan Tangkak sebagai venue pelepasan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 peringkat ke-8, penubuhan Kumpulan Seni Muzik Kemplingan serta pementasan Teater Gunung Ledang yang mencipta rekod Guinness Book of Records.
“Selain itu, Tangkak turut menerima pengiktirafan sebagai Venue Permulaan Paling Meriah Petronas LTDL 2025, hasil kerjasama erat antara semua jabatan dan komuniti daerah. Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kerja berpasukan mampu mengangkat nama Tangkak ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Nazid turut menzahirkan penghargaan kepada warga majlis dan masyarakat setempat atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Persembahan Kemplingan Daerah Tangkak yang diangkat oleh mantan Pegawai Daerah Tangkak, Ts Mohd Johari sehingga mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
“Saya amat berterima kasih atas dedikasi dan kerjasama semua pihak. Kejayaan yang dicapai bukan hasil individu, tetapi kekuatan bersama yang membentuk jati diri warga Tangkak. Saya yakin daerah ini akan terus maju di bawah kepimpinan baharu,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk zapin, silat Jurus Ledang serta iringan muzik oleh Kumpulan Kemplingan Daerah Tangkak.
Turut hadir Pegawai Daerah Tangkak Ungku Suzana Ungku Mohammad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak Ee Chin Li.
-RI





