Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pemuda Bangunkan Baja Organik Terima Geran RM20,000

By 29 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)

KUANTAN, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Seorang usahawan muda, Mohd Fikri Daud, 36, menerima geran bernilai RM20,000 daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berjaya membangunkan produk baja organik hasil inovasi sendiri.

Mohd Fikri Daud (kanan) bijak mengambil peluang dalam sektor pertanian demi meningkatkan taraf hidup.

Mohd Fikri, yang turut diumumkan sebagai Ikon NADI X Keusahawanan, mula menceburi bidang pertanian sejak tahun 2021 selepas menyertai kelas NADI (Nurturing Aspirations, Developing Innovation) anjuran MCMC.

Melalui program itu, beliau mempelajari teknik pertanian moden, pengurusan ladang serta strategi pemasaran produk hijau yang mampan.

Menurutnya, penglibatan dalam sektor pertanian bermula dengan penanaman bawang menggunakan benih daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebelum beralih kepada tanaman pisang.

“Hasil tanaman yang memberangsangkan mendorong saya menghasilkan baja organik sendiri bagi meningkatkan kualiti tanaman,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Kini, beliau mengusahakan ladang seluas lima ekar yang diperoleh melalui sokongan Jabatan Pertanian kepada usahawan muda.

Bergambar kenangan dengan krew penggambaran ‘Destinasi Kita’.

Mohd Fikri berkata baja organik keluarannya bukan sahaja mesra alam, malah membantu mengurangkan kos operasi ladang.

“Geran RM20,000 yang diterima akan digunakan untuk meningkatkan produktiviti baja organik dan membangunkan jenama sendiri,” ujarnya.

Program Ikon NADI X Keusahawanan bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda berdaya saing serta menyokong pembangunan ekonomi hijau negara.

-RI

Tinggalkan komen anda