Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perak Terima Manfaat Besar Belanjawan 2026 – Azlan

By 30 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Negeri Perak menerima banyak manfaat menerusi pembentangan Belanjawan 2026 yang akan memacu Pelan Perak Sejahtera 2030, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak Mohd Azlan Helmi Helmi.

Menurut beliau manfaat yang dibentangkan adalah penting bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial di negeri itu.

Pegawai Penerangan Daerah Muallim Mohamad Shahiran Mohamed Jamiludin (kiri) selaku moderator manakala Pegawai Penerangan Daerah Hilir Perak Nurlaila Abdul Azid (tengah) dan Penolong Pegawai Penerangan JAPEN Perak Khairul Anuar Mohd Noor (kanan) selaku barisan panel bagi sesi Taklimat Belanjawan 2026.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sesi Taklimat Belanjawan 2026 Bersama Komuniti MADANI dan Taklimat Internet Selamat Negeri Perak di Auditorium Kompleks Sultan Nazrin Muizzudin Shah (RTM), di sini kelmarin.

Azlan memaklumkan antara yang menarik untuk diambil perhatian ialah peningkatan kemahiran tenaga kerja melalui pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kawasan yang pesat membangun seperti di Tanjung Malim, Manjung-Lumut, Kerian dan Kinta.

Beliau turut menekankan fokus terhadap pembangunan infrastruktur utama, termasuk naik taraf jalan, pembinaan simpang utama Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), serta Klinik Kesihatan (Jenis 2) di Tanjung Rambutan.

“Belanjawan 2026 turut fokus terhadap ekonomi hijau dan industri halal, termasuk Taman Industri Halal Perak dan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT),” ujarnya.

Azlan juga setuju pemberian insentif cukai pelancongan domestik sehingga RM1,000 bakal merancakkan sektor pelancongan serta kebudayaan negeri.

Malah, beliau yakin semua inisiatif ini bakal membuka ruang pelaburan berimpak tinggi dan peluang pekerjaan yang banyak demi menjadikan Perak negeri yang lebih makmur dan sejahtera.

Sesi taklimat tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Perak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

-RI

Tinggalkan komen anda