
Laporan/foto: Ku Nurul Sham Ku Isa (Kubang Pasu)
JITRA, 30 Okt (Malaysiaaktif) – MnM Home Whimsical Houses di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah kini muncul sebagai destinasi pelancongan fantasi baharu di utara tanah air yang menawarkan pengalaman unik berasaskan seni bina kreatif dan suasana alam semula jadi yang menenangkan.

Rumah terbalik.
Dibangunkan oleh bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Dr. Mahamad Tayib, kawasan seluas 0.8 hektar ini menampilkan pelbagai reka bentuk rumah unik dan berwarna-warni yang diinspirasikan daripada dunia imaginasi.
Menurut Mahamad, idea pembangunan MnM Home lahir daripada minatnya terhadap seni bina kreatif serta keinginan untuk mewujudkan ruang santai yang mampu menarik minat pelancong luar bandar.
“Kami ingin mencipta tempat yang bukan sahaja menarik dari segi visual, tetapi juga memberi inspirasi kepada pengunjung untuk menghargai keindahan seni, imaginasi dan alam sekitar,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Rumah Hobbit.
Antara tarikan utama di sini ialah Rumah Berkembar Senget, Rumah Terbalik dan Rumah Hobbit, yang membolehkan pengunjung merasai suasana seolah-olah berada di dunia dongeng.
Selain itu, Taman Permainan Kanak-kanak turut disediakan sebagai ruang riadah mesra keluarga.
Dengan gabungan unsur seni, pendidikan dan alam semula jadi, MnM Home Whimsical Houses bukan sahaja memperkukuh daya tarikan pelancongan Kedah, tetapi turut membuktikan bahawa kreativiti mampu menjadi pemangkin pembangunan pelancongan luar bandar yang mampan dan berimpak tinggi.
Untuk kemudahan pelawat, tempahan lawatan boleh dibuat melalui WhatsApp di talian 019-4488197, sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh lawatan.
-RI





