Skip to main content
Berita TempatanSarawak

HASN Sarawak 2025 Didik Generasi Muda Hargai Alam Sekitar

By 30 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Lim Poh Choo (Sarawak)

SEMATAN, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung semalam amat menekankan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan usaha ke arah kelestarian alam sekitar dan sasaran mencapai sifar bersih karbon.

Kontroller Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datuk Jack Liam berkata sambutan tahun ini mengetengahkan tema baharu ‘Driving Sustainability, Achieving Net Zero’ yang membawa maksud mendalam berkaitan keseimbangan antara pembangunan dan tanggungjawab terhadap perubahan iklim.

Sesi fotografi Ahli kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Daerah Serian bersama Abang Johari.

“Tema ini mencerminkan komitmen kita untuk terus memperkukuh usaha ke arah kelestarian alam sekitar dan mencapai sasaran sifar bersih karbon,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan HASN Peringkat Sarawak 2025 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini.

Beliau juga menambah, sambutan tersebut juga menjadi platform untuk perkongsian maklumat mengenai pelbagai usaha serta inovasi yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan badan korporat bagi memastikan alam sekitar kekal terpelihara.

Program Ecocamp yang diadakan turut bertujuan memupuk kesedaran dan semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar serta meningkatkan pengetahuan mereka mengenai amalan hijau dan kepentingan pemuliharaan alam semula jadi.

Sementara itu, Norzelan Kili, 53, guru di SK Triang, Serian, menyifatkan penganjuran HASN sebagai satu inisiatif yang bermanfaat kerana dapat menanam rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Norzelan Kili berpandangan HASN sebagai inisiatif yang bermanfaat menanam rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.

“Hari ini kami dijemput oleh pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) untuk membuat persembahan khas bertemakan alam sekitar menggunakan alat muzik kitar semula.

“Menariknya, seramai 40 murid dari empat sekolah di daerah Serian terlibat dalam program ini iaitu SK Triang, SK Serian, SK Lebur Remun dan SK Kriat,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda