
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hairie Izwan Awang (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Semangat kebersamaan dan kefahaman terhadap aspirasi negara terus diperkukuh apabila Komuniti MADANI dan agensi kerajaan daerah ini berhimpun dalam Taklimat Belanjawan 2026, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi rakyat serta memperluas jaringan perlindungan sosial.
Program yang berimpak tinggi itu turut menjelaskan sembilan tekad utama Belanjawan MADANI 2026, termasuk mempercepat pembangunan wilayah dan memperkasa ekonomi tempatan melalui keusahawanan komuniti.

Mohd Rosli Awang berkata taklimat ini membantu masyarakat memahami peranan mereka dalam menyokong pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
Menurut Bendahari Komuniti MADANI Teluk Ketapang Mohd Rosli Awang, taklimat yang diadakan kelmarin itu menjadi medium penting untuk menterjemahkan dasar kerajaan kepada tindakan di peringkat akar umbi.
“Belanjawan bukan sekadar angka dan peruntukan, tetapi cerminan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat. Kami di peringkat komuniti akan memastikan manfaatnya sampai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Nurul Nur Habsah Mohd Rasyid dari Komuniti MADANI Telaga Daing, berkata program itu membantu generasi muda memahami bagaimana dasar fiskal negara digerakkan.
“Golongan muda perlu celik belanjawan agar mereka tahu bagaimana setiap sen perbelanjaan kerajaan digunakan untuk memperkukuh masa depan negara,” jelasnya.

Ketua Balai Polis Manir Kamaruzaman Muda menekankan kepentingan kerjasama rentas agensi dalam memastikan pelaksanaan Belanjawan MADANI berjalan lancar
Ketua Balai Polis Manir Kamaruzaman Muda, menegaskan pentingnya kerjasama rentas agensi bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan MADANI berjalan lancar dan berkesan di lapangan.
Taklimat turut menekankan usaha mengurangkan kos sara hidup, memperluas digitalisasi perkhidmatan awam dan memperkukuh daya tahan sosial masyarakat agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh.
Dengan semangat Malaysia MADANI sebagai teras, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan rakyat dan kerajaan, malah menyemai kefahaman mendalam tentang peranan bersama dalam menjayakan Belanjawan 2026 menuju negara maju, sejahtera dan inklusif.
-RI





