
Laporan/ foto: Nurul Ain Mohamed Hassim/ Politeknik Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Politeknik Kuala Terengganu (PKT) terus memperkukuh peranan sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi apabila berjaya menganjurkan Data Hackathon POLYCC v2.0 (ASEAN Challenge) bertempat di Permai Hotel Kuala Terengganu, di sini kelmarin.

Pasukan Deep Dwellers dari Politeknik Kuala Terengganu Juara Data Hackathon POLYCC v2.0 Asean Challenge bagi Kategori POLYCC Challenge
Penganjuran kali kedua ini melakar sejarah tersendiri apabila turut disertai peserta dari institusi pendidikan tinggi ASEAN, termasuk Politeknik Negeri Bengkalis dan Politeknik Aceh, Indonesia.
Program ini menghimpunkan 265 peserta daripada 72 pasukan dari pelbagai politeknik, kolej komuniti dan universiti tempatan.
Menurut Pengarah Kanan Kompetensi JPPKK Ts. Abdul Razak Sabtu, hackathon ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform latihan berasaskan projek yang melatih pelajar menguasai kemahiran analisis data, pemikiran kritikal serta penyelesaian masalah sebenar industri.
“Program seperti ini membuka ruang kepada pelajar TVET untuk meneroka potensi besar bidang sains data dan analitik, seiring dengan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi masa kini,” katanya.

Sesi viva daripada peserta di hadapan juri
Tiga tema utama diperkenalkan dalam pertandingan ini iaitu Tourism Challenge, Industry Challenge dan POLYCC Challenge yang memberi peluang peserta mencari penyelesaian kepada isu sebenar dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu dan pendidikan.
Sementara itu, Pengarah PKT Ts. Nadzri Che Kamis, berkata penganjuran hackathon ini membuktikan bahawa pelajar TVET berupaya menjadi pemangkin inovasi digital dan ekonomi berasaskan data di peringkat serantau.
Majlis penutupan diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang serta penghargaan kepada juri, mentor dan rakan industri seperti Cypark Resources Berhad, TD1303, Bank Simpanan Nasional, Grid Energy Sdn. Bhd. dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
-AA-





