
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ah Soon (Johor)
PASIR GUDANG, 3 Nov (MalaysiaAktif) – Penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya bakal menikmati kemudahan kesihatan lebih menyeluruh apabila Hospital Pasir Gudang dijangka beroperasi sepenuhnya dan dibuka secara rasmi pada Januari tahun hadapan.

Ling Tian Soon berkata beberapa klinik pakar di Hospital Pasir Gudang telah mula menerima pesakit yang dipindahkan daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata sejak hospital baharu itu siap sepenuhnya pada Julai lalu, pelbagai persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan operasi berjalan lancar serta dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula menempatkan petugas kesihatan ke Hospital Pasir Gudang secara berperingkat, walaupun jumlah tenaga kerja masih belum diisi sepenuhnya.
“Pada masa ini, pelbagai kelengkapan dan peralatan perubatan juga telah mula tiba, dan pihak hospital sedang menjalankan fasa ujian operasi bagi memastikan semua sistem, aliran kerja serta peralatan berada dalam keadaan baik sebelum pembukaan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau berkata beberapa klinik pakar di Hospital Pasir Gudang telah mula menerima pesakit yang dipindahkan daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Pemindahan ini memberi manfaat besar kepada pesakit yang tinggal berhampiran kawasan Pasir Gudang kerana ia dapat menjimatkan masa perjalanan dan tempoh menunggu rawatan, selain membantu mengurangkan kesesakan di HSA dan HSI,” katanya.

Pelbagai kelengkapan dan peralatan perubatan telah mula tiba, sementara hospital menjalani fasa ujian operasi bagi memastikan semua sistem dan peralatan berfungsi baik sebelum pembukaan rasmi.
Selain itu, beberapa klinik kesihatan kerajaan di sekitar kawasan Pasir Gudang turut mula merujuk kes ke hospital berkenaan.
Ling turut memaklumkan bahawa Jabatan Kecemasan Hospital Pasir Gudang kini beroperasi secara percubaan, manakala dua wad pesakit dalam, masing-masing untuk lelaki dan wanita, telah dibuka dengan kapasiti awal 37 katil.
“Kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi mempercepatkan penempatan tambahan tenaga kerja kesihatan seperti doktor, jururawat dan petugas sokongan supaya hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2026,” katanya.
-FN





