
Laporan/foto: Herman Hamid
KUALA LUMPUR , 3 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Batu Tahun 2025 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, meriah dengan kehadiran lebih 300 pengunjung.

Sesi ramah mesra antara Ahli Parlimen Batu dan tetamu yang hadir.
Ahli Parlimen Batu Prabakaran Parameswaran berkata program tersebut menjadi simbol keharmonian dan saling menghormati antara kaum yang menjadi tunjang kekuatan perpaduan.
Katanya, ia turut menjadi wadah mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk.
Preveena Varsha R.Sahadava, 38, berkata sambutan itu meriah apabila bukan saja dihadiri kaum India sebaliknya turut disertai masyarakat Melayu, Cina, dan Sikh.
“Program ini menjadi lebih meriah dan dapat mengukuhkan semangat silaturahim antara kaum di seluruh Malaysia,” katanya.

Antara tetamu yang hadir di Program Sambutan Deepavali Parlimen Batu.
Seorang lagi pengunjung Ananthi Govindaswamy, 50, gembira apabila kesemua bangsa meraikan perayaan Deepavali bersama-sama.
“Ini semua melambangkan pencerahan, harapan dan perpaduan rakyat dalam semangat Malaysia Madani yang semakin jitu,” katanya.
Program turut dihadiri Pengurus DBKL Cawangan Batu Mohd Attamimi Farouk Maarof.
-RI





