
Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)/Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut
JERANTUT, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Karnival Sukan Bola Sepak Local Community Management Group (LCMG) Taman Negara Pahang mampu memperkukuhkan hubungan masyarakat setempat dan agensi kerajaan.

Pasukan bola jaring yang terlibat.
Menurut salah seorang peserta Azwina Tohalus, 40, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti.
“Saya berharap semua peserta dapat menjadikan pengalaman ini sebagai ruang untuk memperkukuh semangat berpasukan serta menyemai nilai kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, di sini kelmarin.
Program bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan ketibaan peserta, disusuli majlis perasmian oleh Pegawai Daerah Jerantut Sulaiman Husin yang turut melakukan sepakan penalti simbolik sebagai gimik pelancaran karnival.

Azwina (kanan) menerima hadiah kemenangan.
Karnival turut diserikan dengan perlawanan persahabatan bola jaring melibatkan pasukan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jerantut menentang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Taman Negara Pahang.
Selain bola jaring, turut diadakan pertandingan bola sepak antara pasukan komuniti LCMG, yang turut menarik penyertaan dan sokongan ramai penduduk setempat.
-RI





