
Laporan/ foto : Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Kompleks Islam Sarawak Sri Aman yang bakal menjadi mercu tanda baharu dan ikon bandar Simanggang dijangka akan disempurnakan perasmiannya oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 20 Disember 2025.
Perkara itu dimaklumkan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan dan Lawatan Tapak Majlis Perasmian Kompleks Islam Sarawak Sri Aman bersama wakil pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan di sini, hari ini.

Abang Mohd Shibli mempengerusikan mesyuarat.
Menurutnya kompleks tujuh tingkat yang dibangunkan di atas tapak seluas 6.37 ekar itu mula dibina pada Februari 2021 bakal menempatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri utama seperti Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
“Kompleks ini bukan sahaja bakal meningkatkan kecekapan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan tetapi juga dijangka menjadi mercu tanda baharu Bandar Sri Aman dengan seni bina Islamik moden termasuk sistem pencahayaan berwarna-warni yang menambah tarikan visual, khususnya pada waktu malam,” katanya.
Terletak secara strategiknya di tepi Sungai Batang Lupar, projek tersebut merangkumi 32 unit kedai tiga tingkat sebagai sebahagian daripada fasa pembangunan bersepadu di kawasan berkenaan.
“Kompleks Islam Sarawak Sri Aman bukan sekadar bangunan fizikal tetapi juga simbol penyatuan dan kemajuan umat Islam di Sri Aman yang akan menjadi pusat ilmu, dakwah dan kebajikan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Kompleks Islam Sarawak Sri Aman yang baharu nanti akan menempatkan beberapa agensi kerajaan.
Abang Mohd Shibli berkata kompleks tersebut merupakan manifestasi komitmen berterusan kerajaan negeri Sarawak melalui Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dalam memperkukuh prasarana Islam serta memperluaskan jaringan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut menyeru ketua kaum, ketua masyarakat dan penduduk di Bahagian Sri Aman agar hadir beramai-ramai memeriahkan majlis perasmian berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan yang memberi impak positif kepada rakyat.
Mesyuarat berkenaan turut meneliti aspek keselamatan, logistik, penyambutan tetamu kehormat dan protokol rasmi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi keselamatan lain bagi memastikan kelancaran majlis perasmian.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam, Penolong Pegawai Tadbir Unit Protokol Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN) Awang Mohamad Shukri Awang Arsad dan Pengurus Kompleks Islam Sarawak Sri Aman Shamsul Bahri.
-RJ-





