
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)
PENAMPANG, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Pembangunan infrastruktur asas dan penyediaan fasiliti kesihatan di kawasan pedalaman antara isu yang perlu diutamakan kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang ekonomi dan golongan berharap kerajaan yang akan dibentuk kelak meneruskan komitmen untuk memastikan kebajikan rakyat terbela khususnya komuniti luar bandar.
Melanie Annol, 73, dari Kampung Kibabaig, Penampang berharap kerajaan akan datang dapat menambahbaik kualiti perkhidmatan dan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar.

Melanie Annol menyuarakan harapan agar kerajaan baharu terus memberi perhatian kepada komuniti luar bandar yang memerlukan kemudahan asas dan perkhidmatan kesihatan.
“Kami mahu kerajaan yang sentiasa prihatin dan membantu rakyat, terutama penduduk di kampung dan kawasan pedalaman mereka juga pengundi kepada kerajaan, beri peluang yang sama rata kepada orang kampung merasai pembangunan.
“Sekarang ini, kemudahan infrastruktur seperti jalan raya masih kurang, perkhidmatan kesihatan juga perlu ditambah untuk penduduk kampung. Di bandar senang dapat semua ini, tapi kami, orang di kampung susah,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan harapan rakyat sempena PRU DU Sabah ke-17, di sini semalam.
Sementara itu, sebagai seorang Usahawan Mikro, Chin Araman, 46, berharap kerajaan yang menyambut mandat rakyat kelak memperkasakan lagi program bantuan kepada golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Harapan saya, semoga selepas pilihan raya nanti walaupun mungkin ada perubahan dalam kerajaan, bantuan kepada PKS seperti kami akan terus diperkasa seperti bantuan geran perniagaan, latihan keusahawanan dan kemudahan pembiayaan,” katanya.
Selain itu, sebagai rakyat yang membesar di daerah pedalaman Tongod, Sylvia Hendry, 38, berharap kerajaan baharu nanti akan merancakkan lagi program khusus untuk pembangunan ekonomi serta keusahawanan untuk meningkatkan potensi rakyat di luar bandar.

Sylvia berharap agar bantuan seperti geran perniagaan dapat diteruskan bagi memudahkan golongan peniaga yang memerlukan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.
“Sebagai pengundi di kawasan Tongod, saya berharap kerajaan yang akan datang lebih membantu dari segi ekonomi kepada usahawan, sebab saya percaya apabila usahawan dibantu, mereka juga akan membantu memajukan ekonomi dan pembangunan di kawasan pedalaman seperti Tongod.
“Contohnya, bantuan dalam bentuk geran modal amat diperlukan, terutama bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal dalam masa yang sama bantu untuk mudahkan proses dokumentasi bagi usahawan baharu seperti urusan mendapatkan lesen dan permohonan geran perniagaan,” katanya.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon serta pengundian awal adalah masing-masing pada 15 dan 25 November.
-RJ-





